
Pengerusi jawatankuasa pengelola program berkenaan, Lou Kok Meng, berkata, perkara berkenaan tidak disengajakan dan pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai kejadian terbabit.
“Pihak penganjur mengambil maklum mengenai perkara itu dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Wakil daripada kami juga sudah ke Bahagian Pengurusan Pentadbiran Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Katanya, ketika ini pihaknya hanya mampu memohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada pengunjung yang datang menderma darah dalam program berkenaan dan akan memperbaiki keadaan.
Semalam, Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara berkenaan susulan program derma darah itu.
Ismail berkata, selepas selesai menderma darah, penderma darah menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan.
“Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati di dalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang,” katanya menurut laporan Berita Harian.