Bekas pengarah syarikat tak dapat sahkan jika rasuah dibayar kepada Guan Eng

Bekas pengarah syarikat tak dapat sahkan jika rasuah dibayar kepada Guan Eng

Ibrahim Sahari berkata, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli meminta beliau dan bekas pengurus kewangan, Azli Adam menggunakan invois 'palsu' bagi mewajarkan bayaran kepada beberapa entiti.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa terbabit rasuah dalam projek terowong dasar laut.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng bahawa beliau tidak tahu jika rasuah diberikan kepada bekas ketua menteri itu.

Ibrahim Sahari berkata, bekas rakan sekerjanya di Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, hanya menyebut mengenai dakwaan rasuah itu selepas dibebaskan daripada reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2018.

“Dia (Zarul) tidak beritahu saya berapa kali ‘rasuah’ itu dibayar atau bagaimana ia diberikan.”

Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Zarul meminta beliau dan bekas pengurus kewangan, Azli Adam menggunakan invois serta baucar “palsu” untuk Consortium Zenith mewajarkan pembayaran kepada beberapa entiti (iaitu Sinar Bina Consultancy Services, Bintang Ria Engineering, JKM Konsortium Sdn Bhd dan Jurutera Konsult Maju Sdn Bhd).

“Ini untuk mengelakkan timbul masalah dengan juruaudit.”

Semalam, Azli memberitahu mahkamah bahawa Zarul mengaku kepadanya bahawa rasuah diberikan kepada Lim untuk projek terowong dasar laut.

Lim kini dibicarakan atas dakwaan menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong itu serta mendapatkan RM3.3 juta rasuah daripada Zarul.

Lim turut menghadapi dua pertuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

‘Bertindak mengikut arahan’

Ketika diperiksa balas oleh Gobind Singh Deo mengenai sama ada Ibrahim sendiri melihat  transaksi yang didakwa itu, saksi tersebut mengesahkan beliau tidak melihat prosesnya.

Gobind turut bertanya kepada Ibrahim soalan-soalan berkenaan pengakuannya bahawa beliau dan Azli memalsukan invois dan baucar bayaran untuk bekas syarikatnya.

Gobind: Anda tahu memalsukan dokumen adalah satu kesalahan jenayah?

Ibrahim: Ya.

Gobind: Anda tahu apa yang Zarul buat itu salah tetapi anda tidak menghalangnya?

Ibrahim: Ya.

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa Ibrahim, bersama Azli dan Zarul, mengada-adakan keterangan di hadapan mahkamah.

Ibrahim menafikannya dan berkata, beliau hanya “bertindak mengikut arahan (Zarul)”.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa Zarul akan hadir memberi keterangan pada tarikh perbicaraan seterusnya.

Gobind berkata, pihaknya bersedia untuk memeriksa balas Zarul.

Perbicaraan diteruskan pada 25 hingga 27 Julai di hadapan hakim Azura Alwi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.