
Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, mangsa maut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan serta seorang bayi.
Ketua Polis Kuantan, Wan Zahari Wan Busu, berkata semua mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Rosli Ibrahim, 33, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak iaitu Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Rajda, 6, dan seorang bayi.
“Berdasarkan dokumen pengenalan diri ditemui, semua mangsa berasal dari Simpang Empat, Semanggol, Perak.
“Pemandu dan kelindan treler yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, dalam kenyataan berasingan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini dan Taman Tas terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa kemalangan.
“Tiga jentera bersama 13 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pusat gerakan operasi bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu.
“Semua mangsa dikeluarkan dari kereta jenis Toyota menggunakan peralatan khas menyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.