
“Terdapat usaha melobi dilakukan oleh hartawan kaya kepada parti politik tertentu kerana mereka tidak mahu membayar lebih banyak cukai,” katanya pada seminar anjuran bersama kumpulan pemikir Bait Al-Amanah dan Kumpulan Konsultasi Z secara maya.
Isham juga menepis dakwaan pengkritik bahawa pelaksanaan GST pada 2014 merupakan cukai regresif.
Beliau berkata GST, sebenarnya adalah ukai progresif kerana ia menghalang golongan kaya mengelak daripada membayar cukai.
“Apabila anda melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), golongan kaya mampu elak daripada membayar cukai,” katanya.
Isham berkata, dengan adanya GST, ia akan membantu menambah keyakinan pelabur asing dan mereka juga yakin Malaysia tidak akan melaksanakan cukai lain.
Katanya, apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST pada 2019, pelabur asing bimbang bagaimana kerajaan akan menyelesaikan hutang RM1 trilion yang terkumpul ketika itu.
“Mereka bimbang kerajaan mungkin memperkenalkan bentuk cukai lain jika kerajaan PH tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan,” katanya.
Katanya, kebimbangan pelabur menjejaskan Malaysia hingga menjadikan Indonesia dan Vietnam lebih menarik kepada banyak pihak untuk melabur.
Isham juga berkata, keberanian politik diperlukan untuk memperkenalkan semula GST.
“Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula GST (pada 2019), tetapi saya ragu adakah beliau serius melaksanakannya kerana lobi politik (daripada kalangan orang kaya) pada masa itu,” katanya.
Perlu ada perjanjian untuk elak GST dipolitikkan
Pengarah penyelidikan Bait Al-Amanah Benedict Weerasena menggesa perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan akan datang dan pembangkang untuk mengelak perbuatan mempolitikkan GST sekiranya ia diperkenalkan semula selepas PRU15.
“GST adalah baik untuk kepentingan negara. Jadi jika pembangkang kemudiannya bermain dengan sentimen orang ramai untuk menentang GST sekali lagi, kita akan kembali kepada keadaan yang sama.
“Dari segi strategi, CSA boleh digunakan sebagai mekanisme untuk GST diinstitusikan. Kita boleh memperhalusinya semasa perbahasan di Parlimen,” katanya.