
Katanya, pemimpin Umno yang mempertikaikan formula dicadangkannya itu “takut” kerana ketandusan idea untuk mentadbir negara.
“Apabila mereka cukup takut dengan formula-formula saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara.
“Mereka (Umno) bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea dan bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa, mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam PRU14 (pilihan raya umum ke-14),” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Rafizi berkata, stok penimbal boleh mengurangkan kesan kekurangan bekalan dan membolehkan kerajaan mengawal kenaikan mendadak harga barangan makanan dan keperluan asas.
Sementara itu, bekas ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, beberapa formula beliau sebelum ini telah digunakan oleh tiga kerajaan terdahulu, termasuk ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diterajui Najib Razak.
Formula berkenaan adalah berkaitan penetapan harga petrol dan diesel yang sebelum itu dikritik hebat oleh pemimpin kerajaan, katanya.
“Pimpinan Umno juga lupa bahawa sedang mereka cuba memperlekehkan idea saya, rakyat sebenarnya tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh tiga kerajaan berturut-turut diperjuangkan oleh saya sejak 2013 ketika Najib gigih mahu menghapuskan subsidi.
“Dalam mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu juga yang dipakai oleh perdana menteri daripada Umno sendiri.
“Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat daripada harga petrol yang naik mendadak seperti pada zaman Najib, formula itu dibawa oleh saya,” katanya dengan menambah bahawa rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018.
Rafizi yakin rakyat menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula kerana setiap penyelesaian bermula daripada idea dan formula.
“Sebab itu, kenyataan Zahid tidak sedikit pun dapat menjawab asas bantahan saya kepada penubuhan lebih banyak lembaga yang menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat.
“Kenyataan itu juga bercanggah dengan kenyataan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno yang baru dilantik, Isham Jalil yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Umno sekarang sudah pun melaksanakan dasar stok penimbal dengan mengimport ayam sejak beberapa minggu lepas.
“Presiden Umno mengatakan idea saya (agar kerajaan melaksanakan dasar stok penimbal) hanyalah formula yang tidak boleh dilaksanakan, tetapi orang kanannya yang baharu dilantik menjadi ahli MKT pula menyebut idea itu telah pun dipakai oleh Umno,” katanya.