
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerusi Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak akan membuat syor tertentu kepada kerajaan supaya masalah harga tersebut dapat ditangani.
“Kita faham, senang minta ibubapa beli susu dan makanan sihat tapi pokok pangkalnya harga, jawatankuasa ini mesti beri tumpuan kepada penentu sosial ekonomi dan tak hanya kempen kesedaran sahaja kita kena lihat faktor yang menjayakan kempen kesedaran ni,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu harga susu formula yang tinggi bagi mengatasi masalah bantut.
Khairy berkata, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial tetapi juga boleh membawa maut.
Untuk rekod, masalah kebantutan di Malaysia pada 2019 ialah sebanyak 21.8%.
Katanya lagi, masalah bantut merentasi semua kategori sosiodemografi sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.
Beliau berkata, situasi Covid-19 yang berlarutan serta kesan ekonomi kepada rakyat dijangka meningkatkan trend masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.
Terdahulu dalam ucapanya, Khairy berkata Pahang, Kelantan, Terengganu dan Putrajaya merekodkan kadar peratusan bantut tertinggi di Malaysia.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengapa Putrajaya yang dikategorikan sebagai kawasan bandar turut berhadapan masalah sedemikian Khairy berkata, kajian mendalam perlu dibuat bagi mengenal pasti faktor penyumbang sebenar.
“Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran, budaya kerja dan akses kepada penjagaan kanak-kanak.
“Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya yang dikenali mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti,” katanya.