50 Mangsa banjir Taman Sri Muda dakwa kerajaan cuai, fail saman RM3.8 juta

50 Mangsa banjir Taman Sri Muda dakwa kerajaan cuai, fail saman RM3.8 juta

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atas bayaran kos perubatan, tekanan emosi, kesakitan dan penderitaan mereka.

50 penduduk Taman Sri Muda Shah Alam memfailkan saman dan menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3.8 juta daripada pihak berkuasa atas kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
50 penduduk Taman Sri Muda yang dilanda banjir Disember lalu memfailkan saman terhadap pihak berkuasa atas alasan kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab.

Mereka menamakan ketua pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri alam sekitar dan air, ketua pengarah Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai defendan.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah syarikat swasta KDEB Waste Management Sdn Bhd serta Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ia termasuk kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri Selangor kerana ia turut bertanggungjawab atas kecuaian atau peninggalan pihak lain, kecuali TNB.

Dalam saman yang difailkan oleh firma guaman Tanes, Khoo & Paulraj di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3.8 juta daripada defendan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teruk atas bayaran kos perubatan, tekanan emosi, kesakitan dan penderitaan yang dialami.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata, Nadma tidak menyediakan pelan tindakan menyelamat yang berkesan selepas banjir.

Mereka berkata, terdapat arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan bahawa Nadma akan mengetuai, menyelaras serta melaksanakan tindakan pasca bencana.

Mereka juga berkata, Jabatan Meteorologi gagal memberi amaran tepat pada masanya mengenai banjir yang akan berlaku.

Mereka mendakwa hanya dimaklumkan dua hari selepas berlakunya banjir, walaupun jabatan itu memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di Pantai Timur.

Plaintif berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran serta PBT gagal membangun mahupun menguruskan sistem banjir Sungai Klang.

Tambahnya lagi, PBT telah meluluskan terlalu banyak arahan pembangunan di sekitar Taman Sri Muda, iaitu antara kawasan yang paling teruk terjejas semasa banjir.

Mereka turut berkata, KDEB Waste Management, iaitu anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated gagal mengurus kutipan sampah domestik dan perkhidmatan pembersihan awamnya dengan baik.

Menurut plaintif lagi, TNB gagal menyediakan janakuasa sandaran di pintu air pasang surut Taman Sri Muda menyebabkan ia melimpah apabila janakuasa sedia ada ditenggelami air.

Peguam V Vemal Arasan, Gurdial Singh Nijhar, M Kula Segaran dan James Joshua Paulraj mewakili plaintif secara pro bono bagi tindakan undang-undang itu.

Vemal berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 25 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.