Polis rampas lebih 9kg dadah, 504 individu ditahan

Polis rampas lebih 9kg dadah, 504 individu ditahan

Bagi tempoh Jan sehingga kini, sebanyak 194 serbuan dilakukan polis ke atas rumah urut, hotel dan pusat hiburan.

Polis mengambil maklum pendedahan dibuat Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia mengenai senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara, kata Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin.
PETALING JAYA:
Sebanyak 9.2kg pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah dirampas, manakala 504 individu ditahan dalam serbuan pusat hiburan di seluruh negara bagi tempoh Jan hingga Jun lalu.

Setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata daripada jumlah itu, 5.13kg pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah telah dirampas dan seramai 160 orang ditahan di ibu negara mengikut pelbagai seksyen kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis mengambil maklum terhadap pendedahan dibuat Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia mengenai senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

“Polis sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara dan sebanyak 194 serbuan telah dijalankan di seluruh negara. Bagi mencegah kegiatan maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan Op Noda di lokasi yang disasarkan seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak 995 serbuan telah dijalankan untuk tempoh Jan hingga Apr lepas dengan tangkapan seramai 2,948 orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan pusat hiburan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, bagi Kontinjen Kuala Lumpur sahaja sebanyak 420 serbuan telah dijalankan dengan tangkapan seramai 1,115 orang bagi tempoh berkenaan.

“Selain itu, 55 serbuan juga telah dibuat melalui Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan polis dengan tangkapan seramai 177 orang dalam tempoh sama, melibatkan serbuan ke atas premis hiburan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam membanteras kegiatan haram ini, polis sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan kegiatan persundalan.

Oleh itu, Noorsiah berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat kegiatan sedemikian.

Katanya, polis terbuka untuk menerima sebarang maklumat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222.

“Bagi maklumat berkaitan kegiatan maksiat, boleh disalurkan melalui emel Bahagian D7 JSJ di alamat [email protected],” katanya.

Khamis lalu, Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mendedahkan sebanyak 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dipercayai didalangi oleh pemilik premis berkenaan dan sindiket dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.