Patut bela rakyat, bukan tambah elaun, Anwar beritahu kerajaan

Patut bela rakyat, bukan tambah elaun, Anwar beritahu kerajaan

Ketua pembangkang itu berkata isu kos sara hidup seperti kenaikan harga barang adalah masalah rakyat yang perlu ditangani oleh kerajaan.

Anwar Ibrahim berkata kenaikan harga barangan hingga menyebabkan rakyat terhimpit menunjukkan kerajaan kurang prihatin.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengingatkan kepada pemimpin kerajaan supaya mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka.

Beliau berkata isu kos sara hidup seperti kenaikan harga barang itu adalah masalah rakyat yang perlu ditangani oleh kerajaan.

“Nak pegang kerajaan bukan hanya tambah elaun, tambah menteri tetapi jaga kemaslahatan rakyat.

“(Harga) sayur, ikan, ayam, tepung naik ini masalah rakyat,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Harapan di Dataran Pantai Morib, malam tadi.

Bermula 1 Julai, kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki.

Pada 22 Jun lalu, Ismail berkata ketetapan itu dibuat kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang.

Baru-baru ini dilaporkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) dinaikkan kepada RM40,000 sebulan, berbanding RM25,000 sebelum ini, antara 13 resolusi diluluskan majoriti pemegang sahamnya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata kenaikan harga barangan hingga menyebabkan rakyat terhimpit menunjukkan kerajaan kurang prihatin. Katanya, walaupun kerajaan sering bertukar termasuk perdana menteri, tetapi dasar yang digunakan lebih kurang sama.

Katanya lagi, walaupun diakui akan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan memerintah, namun prestasi ditunjukkan kerajaan negeri Selangor dan Melaka sangat baik dan prestasi baik itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Anwar juga berharap Jelajah Harapan di Selangor diteruskan di negeri-negeri lain sebagai persediaan berdepan pilihan raya umum akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.