Lembu korban tular terlepas, serang warga emas

Lembu korban tular terlepas, serang warga emas

Sebelum ini, tular seekor lembu terlepas berhampiran MRR2 menghala Sungai Buloh.

Tangkap layar memaparkan seekor lembu berlari di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas dipercayai terlepas sewaktu proses mencucuk hidung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas retak tulang belakang selepas diserang seekor lembu korban terlepas, di hadapan kediamannya, di Bandar Menjalara, Kepong, pada Jumaat.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia 81 tahun dikatakan berdiri di hadapan pagar rumahnya untuk keluar.

“Ketika itu mangsa terlihat seekor lembu sedang berlari di taman berdekatan rumahnya. Namun, secara tiba-tiba lembu tersebut lari ke arah mangsa dan bertindak menanduk perut mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang belakang dan sakit pada bahagian belakang bahu,” katanya menurut laporan Awani.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati sebelum ini tular rakaman video berdurasi 3 minit 22 saat yang menunjukkan seekor lembu terlepas berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Sungai Buloh.

“Video itu menyaksikan aksi seorang kelindan cuba untuk menambat lembut tersebut namun disebabkan lembu itu bertindak agresif, ia terlepas dan lari menghala ke Sungai Buloh,” katanya.

Katanya, polis kemudian menerima laporan daripada pengerusi Masjid Anas Bin Malik, Kampung Selayang Lama, Kuala Lumpur, berhubung seekor lembu ditambat di kawasan masjid itu terlepas, sewaktu proses mencucuk hidung lembu tersebut.

Eng Lai memberitahu, lembu tersebut disedekahkan orang awam untuk tujuan korban.

“Jadi kami percaya lembu yang terlepas lari ini adalah merupakan lembu yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.