Kalah teruk PRU14, punca Nur Jazlan jadi ‘pemimpin kecewa’, sindir Nazri

Kalah teruk PRU14, punca Nur Jazlan jadi ‘pemimpin kecewa’, sindir Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata berkemungkinan Nur Jazlan akan kalah 50,000 undi majoriti sekiranya kekal bertanding di Parlimen Pulai.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, ‘memuji’ keputusan Nur Jazlan Mohamed tidak bertanding di Parlimen Pulai, menjelang pilihan raya umum akan datang selepas menyedari beliau ditolak pengundi.
PETALING JAYA:
Bekas menteri, Nazri Aziz, secara sinis menggambarkan Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, sebagai “pemimpin kecewa” selepas kalah teruk, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 2018.

Katanya, kenyataannya enggan bertanding, baru-baru ini, membuktikan beliau sedar rakyat tidak lagi menyukainya.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata sekiranya Nur Jazlan terus bertanding di Parlimen Pulai, besar kemungkinan beliau akan mengalami kekalahan lebih teruk, berbanding sebelum ini.

“Saya puji dia sebab dia sedar diri, dia sedar rakyat terutama pengundi di Pulai tidak suka dia. Bila dia umum tidak mahu bertanding lagi, maknanya dia tahu, dia akan kalah lebih teruk berbanding PRU14.

“Kalau PRU14 dia kalah dengan Salahuddin Ayub 28,000 majoriti, kali ini kalau dia bertanding lagi mungkin boleh kalah 50,000 undi. Baguslah kalau dia tidak mahu bertanding sebab saya rasa kalau dia masih nak jadi calon, silap-silap jentera Umno dan Barisan Nasional Pulai pun akan sabotaj dia,” katanya menurut laporan Awani.

Mengulas pelawaan Nur Jazlan agar beliau bertanding di Parlimen Pulai, Nazri berkata, beliau yakin boleh mencapai kemenangan di kerusi itu.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada sikapnya yang bercakap benar dan perkara itu diterima baik pengundi semua kaum.

“Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta. Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.

“Di Padang Rengas itu memang kerusi Umno yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi. Ada tsunami pun tetap Umno menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Nur Jazlan mengulangi pendirian untuk melepas dan tidak bertanding di kerusi Parlimen Pulai, pada PRU15.

Malah, beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen di kawasan tersebut selama tiga penggal turut mempelawa beberapa ahli politik dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi tersebut.

Antara yang disebut Nur Jazlan adalah Nazri, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.