Guna logo ikut psikologi pengundi, Sanusi saran PAS guna ‘bulan’, lambang PN

Guna logo ikut psikologi pengundi, Sanusi saran PAS guna ‘bulan’, lambang PN

Pengarah pilihan raya PAS itu berkata kedua-dua logo parti boleh digunakan bergantung kepada kesesuaian negeri dan psikologi pengundi di kawasan ditandingi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor, berkata memberi contoh logo PAS boleh digunakan di Kelantan dan mungkin negeri lain boleh menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA:
PAS bersedia menggunakan logo tradisi ‘bulan’ atau lambang Perikatan Nasional (PN) mengambil kira kesesuaian negeri dan faktor psikologi pengundi, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor.

Katanya, bagaimanapun keputusan berhubung penggunaan logo akan dimuktamadkan pimpinan parti, termasuk dibincangkan di peringkat PN.

“Sebelum ini ada pandangan kita guna logo PN seperti di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan kemudian di Johor, tetapi kali ini perlu ada perbincangan lagi untuk kita putuskan logo akan digunakan.

“Semalam saya ada di Kelantan, dan PAS Kelantan berpandangan lebih sesuai guna logo PAS dan negeri lain mungkin boleh guna logo PN. Logo ada rahsianya kerana ia boleh melambangkan kita dalam pakatan yang memberi kesan keyakinan rakyat.

“Begitu juga jika PAS guna logo gambar sendiri, ia turut memberi kesan psikologi. Pada saya dua-dua boleh digunakan, namun bergantung kepada perbincangan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, memberi bayangan parti itu menggunakan logo imej bulan berikutan dakwaan pengundi menjadi keliru ketika ia digunakan pada PRN Melaka dan Johor kerana menyangka ia logo Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dalam kenyataannya menegaskan PAS masih menggunakan logo PN dan cadangan Hashim adalah pandangan peribadinya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Hadi, kelmarin, yang berpendapat PRU15 perlu disegerakan, Sanusi yang juga menteri besar Kedah, berkata pilihan raya boleh dipercepat sekiranya semua persediaan melaksanakannya sudah disiapkan semua pihak.

“Untuk buat PRU15 semua pihak kena sedia. Pilihan raya kali ini akan ada pertambahan pengundi yang banyak, malah ada undi 18 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia termasuk menyiapkan semua pusat mengundi.

“Bagi parti pula, saya rasa semua sudah bersedia sebelum ini cuma keadaan tidak mengizinkan apabila kita berhadapan pandemik Covid-19. PAS sendiri sudah bersedia dan kita yakin akan menang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.