Demi lawan kartel, LKIM lantik syarikat beli stok ikan

Demi lawan kartel, LKIM lantik syarikat beli stok ikan

Pengerusi LKIM, Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal berkata ketika ini bekalan ikan mengalami kenaikan harga kerana dimonopoli kartel.

Pengerusi LKIM Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan) menyerahkan replika enjin sangkut kepada penerima pada Majlis Penyerahan Enjin Sangkut PNK Matang di Jeti Kampung Tebuk Matang, dekat Taiping hari ini. (Gambar Bernama)
BUKIT GANTANG:
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam proses menyiapkan tender untuk melantik syarikat membekalkan ikan untuk stok sejuk beku.

Pengerusinya, Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal, berkata langkah itu dapat membendung aktiviti monopoli kartel yang semakin berleluasa.

“Kerajaan melalui syarikat berkenaan yang dilantik LKIM akan bertindak membeli, menyimpan, memproses dan memasarkan ikan dalam skala besar bagi mengelak kartel memonopoli ketika musim pendaratan ikan yang banyak,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan enjin sangkut di Kampung Tebuk, Matang.

Seramai 46 orang nelayan di Jeti Kampung Tebuk dan Jeti Kampung Matang Gelugor menerima enjin sangkut membabitkan kos RM494,000 bertujuan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Syed Abu Hussin berkata, pada ketika ini bekalan ikan mengalami kenaikan harga kerana dimonopoli kartel yang membeli dengan banyak pada ketika musim ikan banyak.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan cara melantik syarikat itu akan menstabilkan, selain membantu mengurangkan harga ikan di pasaran.

“Isu kartel bukan perkara baharu kerana kartel sudah bergerak untuk membeli ikan di kawasan pendaratan pada musim ikan banyak dengan cara itu akan membolehkan mereka memainkan harga di pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.