
Katanya, ketiadaan subsidi bagi minyak masak botol akan menyebabkan peniaga mikro yang kebanyakannya adalah peniaga kecil di tepi jalan beralih kepada minyak masak paket kerana tidak mampu menanggung kos tinggi.
“Selepas subsidi dihapuskan, peniaga kecil-kecilan mula mencari minyak masak paket, kerajaan perlu lihat senario itu dan jumlah (bekalan di pasaran) perlu ditingkatkan kerana mesti akan ada ketirisan secara langsung atau tidak terutama di kawasan PPR atau di kampung-kampung.
“Mereka tak mampu nak beli minyak masak botol,” katanya selepas merasmikan program ‘Cargill Cares Rise Against Hunger’.
Pada 21 Jun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.
Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kemudian menjelaskan subsidi bagi minyak masak paket dikekalkan dengan harga jualan pada RM2.50/kg dengan peruntukan RM4 bilion pada 2022 membabitkan 600,000 tan, melebihi keperluan sebenar pengguna sebanyak 55,000 tan.
Semalam, Putrajaya membatalkan keputusan untuk mengapungkan harga ayam dan harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Fahmi berkata Putrajaya seharusnya menjelaskan secara terperinci apakah perancangan rasionalisasi subsidi bagi tempoh jangka panjang, bukan hanya mengumumkan tanpa ada langkah selanjutnya.
“Kami minta penjelasan daripada menteri-menteri berkaitan kos sara hidup apakah rancangan untuk rasionalisasi subsidi, bukan setakat umum contohnya sehingga hujung tahun apakah rancangan kerajaan,” katanya.