Segerakan konsultasi RUU pendanaan politik dengan parti politik, kata Bersatu

Segerakan konsultasi RUU pendanaan politik dengan parti politik, kata Bersatu

Ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata itu perlu dibuat supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menyegerakan konsultasi dengan parti-parti politik mengenai akta pendanaan politik, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata usaha itu perlu dibuat supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.

“Pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh (bekas perdana menteri) Najib Razak kepada ramai pemimpin Umno seperti Ahmad Maslan, Shahrir Samad dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata selia pendanaan politik itu tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan.

Katanya, idea-idea penting mengenainya telah dibahaskan sebelum ini.

“Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada ‘political will’ atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan,” katanya.

Katanya, beliau juga sebelum ini telah terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan Akta berkaitan pendanaan politik dan merupakan ahli jawatankuasa ‘Electoral Reform Committee’ di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

“Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.