3 terselamat selepas kereta terjunam dalam sungai

3 terselamat selepas kereta terjunam dalam sungai

Menurut polis, ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bangi, Selangor ke Kuala Krai, Kelantan.

Keadaan kereta dinaiki mangsa terjunam ke dalam sungai dekat Batu 12 Jalan Tapah-Cameron Highlands, Tapah, pada Khamis. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pesara tentera termasuk dua wanita nyaris cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai dekat Batu 12 Jalan Tapah-Cameron Highlands, Tapah, pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 11.59 malam daripada orang awam.

Katanya, pemandu kereta yang juga pesara tentera berumur 51 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 37 tahun tidak cedera manakala seorang lagi penumpang iaitu wanita berumur 45 tahun cedera di bahagian muka.

Wan Azharuddin berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bangi, Selangor ke Kuala Krai, Kelantan.

“Siasatan awal polis mendapati apabila tiba di tempat kejadian semasa pemandu hendak memasuki selekoh jalan dipercayai mangsa telah keliru dengan arah laluan.

“Kebetulan jalan yang dilalui gelap dan pemandu ternampak besi penghadang jambatan seperti pagar lalu terus terbabas masuk ke dalam sungai terbabit,” katanya, menurut Berita Harian.

Katanya, pemandu berjaya keluar sendiri dari kereta terbabit manakala dua lagi penumpang kereta itu diselamatkan oleh orang awam.

Kenderaan dinaiki mangsa dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi semalam dan semua mangsa telah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan lanjut, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.