Gubal undang-undang lebih tegas tangani kekejaman terhadap haiwan, gesa aktivis

Gubal undang-undang lebih tegas tangani kekejaman terhadap haiwan, gesa aktivis

Polis baru-baru ini menahan reman seorang lelaki di Sungai Petani, Kedah susulan video rakaman CCTV tular menunjukkannya mendera kucing.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam cuba mengumpan makanan kepada kucing.
PETALING JAYA:
Dua aktivis menggesa penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas bagi mengekang kejadian penderaan haiwan.

Peguam hak asasi haiwan, Rajesh Nagarajan berkata, penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) “amat tidak berkesan dan lembap” menyebabkan pelaku berani membuat kesalahan.

“Undang-undang tidak mengekang perbuatan ini kerana tiada penguatkuasaan,” katanya kepada FMT.

“Kerajaan mesti melantik individu yang kompeten untuk menerajui JPV bagi menjaga kebajikan semua haiwan.”

Karin Lee daripada kumpulan aktivis Give for Paws pula berkata, pihak berkuasa mesti memastikan pesalah menerima hukuman sewajarnya.

Dalam beberapa laporan mengenai kes dera haiwan dan kes terbaharu di Sungai Petani, Kedah membabitkan seorang lelaki yang direman kerana disyaki menendang dan menyiksa kucing.

Rakaman video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan perbuatan suspek mengumpan makanan kepada dua ekor kucing sebelum dia menendang seekor daripada haiwan terbabit tanpa belas kasihan.

Lee memuji tindakan pantas polis menahan reman suspek, namun menyuarakan harapan agar ketangkasan seperti itu menjadi amalan lazim.

“Kita memerlukan tindakan pantas seperti ini bagi semua kes yang dilaporkan di seluruh negara. Barulah ia akan mengekang perlakuan keji seperti itu,” katanya.

Lee berkata, penyiksaan haiwan tidak patut dipandang remeh sekali gus menggesa orang ramai melaporkan atau campur tangan sekiranya melihat kejadian penderaan atau pengabaian haiwan.

“Orang ramai mesti mendapatkan maklumat susulan daripada JPV dan polis selepas membuat laporan untuk mendesak penguatkuasaan lebih tegas demi perlindungan haiwan,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga mesti mendidik anak mereka menghormati haiwan dan orang ramai wajar menggunakan media sosial bagi mendapatkan sokongan dan bantuan untuk haiwan yang memerlukan kediaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.