Tajuddin digugur kerana tindak-tanduk, kata Zahid

Tajuddin digugur kerana tindak-tanduk, kata Zahid

Umno menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti, kata Presiden Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno disebabkan tindak-tanduk pemimpin itu ketika mengkritik parti. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umno menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan menujukan soalan itu kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

“Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di BN Youth Job Fair 2022 di ibu negara.

Zahid juga menegaskan bahawa perlembagaan parti tidak memberikan Tajuddin sebarang ruang untuk merayu terhadap pengguguran jawatan itu.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik saya fikir tidak ada,” katanya dan menambah bahawa perlembagaan Umno turut menyatakan kuasa pelantikan adalah kuasa presiden.

Duta besar Malaysia ke Indonesia yang baharu dilantik itu digugurkan daripada MKT Umno baru-baru ini, namun Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, tidak menyatakan sebab di sebalik tindakan itu dalam surat pemberitahuan tular bertarikh 21 Jun yang dilihat FMT.

Zahid menjelaskan bahawa mesyuarat MKT menerima perbezaan pendapat dalam kalangan anggota namun mereka harus mematuhi keputusan parti.

“Kita boleh berbeza pendapat dalam perbincangan tetapi jika keputusan telah dibuat ia merupakan ‘keputusan parti’. Kena ikut apa diputuskan parti, bukan sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, Tajuddin digugurkan sebagai pengarah pilihan raya Umno. Beliau juga dilihat sering bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti itu dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk mengadakan PRU15.

Ditanya mengenai kritikan Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berhubung kelewatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri, Zahid berkata, kenyataan itu adalah “pandangan peribadi” dan tidak mewakili parti.

Jazlan baru-baru ini berkata, kelewatan itu mencerminkan kedudukan Ismail yang lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.