Segmen taman tema, selam skuba dan inap desa tawar diskaun menarik

Segmen taman tema, selam skuba dan inap desa tawar diskaun menarik

Inisiatif dilancarkan Motac itu bertujuan membantu penggiat industri terus berdaya saing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri merasmikan Program Minat Khas Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 di Shah Alam.
SHAH ALAM:
Seiring dengan keyakinan orang ramai terhadap pemulihan ekonomi dan sektor pelancongan negara susulan peralihan ke fasa endemik Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 merangkumi segmen taman tema, selam skuba dan inap desa.

Menterinya, Nancy Shukri berkata, program minat khas bawah pelan pemulihan itu adalah kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi, antara inisiatif di bawah pelan pemulihan industri pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Katanya, inisiatif itu memberi manfaat kepada kira-kira 54,000 pengguna melibatkan penawaran pakej pelancongan dan baucar menarik dengan sasaran jualan keseluruhan bernilai RM6,753,420.

“Pada masa sama, pelan pemulihan ini juga diharapkan dapat membantu pelancongan domestic berkembang semula dan terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Minat Khas Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Inisiatif anjuran Tourism Malaysia itu turut melibatkan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) dan Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA).

Beliau berkata, Keluarga Malaysia boleh mendapatkan diskaun sehingga 40% dan e-baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian tiket masuk ke taman tema dan pusat hiburan keluarga yang terlibat bermula 24 Jun hingga 2 Okt.

“Setiap pengguna layak melakukan penebusan maksimum tiga kali di tiga taman tema atau di pusat hiburan keluarga berlainan dan pembelian perlu dibuat melalui laman web www.tickets.matfa.org.my,” katanya.

Bagi peminat aktiviti selam skuba, Nancy berkata, kempen “Jom Dive” menawarkan diskaun sebanyak RM400 bagi setiap pembelian pakej selam skuba berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu transaksi melalui laman web www.xtvt.com.my.

“Peminat selam skuba boleh menikmati diskaun dan rebat daripada lebih 50 ‘dive operator’ yang menyertai kempen ini bermula 27 Jun hingga 26 Sept,” katanya.

Sementara itu, bagi kempen “Jom Cuti di Homestay” pula, beliau berkata pengguna layak menikmati rebat sebanyak RM50 hingga RM300 bagi setiap pembelian pakej berharga RM100 dan ke atas dengan penebusan maksimum sehingga tiga kali.

“Sebanyak 150 pakej ditawarkan di portal jomhomestay.my dengan penglibatan 67 kluster pengusaha inap desa dari seluruh negara dan tempoh sah laku adalah sehingga 31 Dis ini.”

Maklumat lanjut berkenaan pakej yang ditawarkan boleh didapati di laman web Tourism Malaysia, www.malaysia.travel.

Nancy berkata, pemberian baucar dan rebat di bawah pelan pemulihan pelancongan 2022 telah bermula pada 29 April lalu meliputi kluster pengangkutan darat dan kluster persatuan pelancongan.

“Inisiatif ini akan diperluaskan secara berperingkat melibatkan kluster pengangkutan udara dan kluster penginapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.