Jika tak mahu simpati, jangan burukkan keadaan, Jamal ingatkan Nur Jazlan

Jika tak mahu simpati, jangan burukkan keadaan, Jamal ingatkan Nur Jazlan

Ketua Umno Sungai Besar itu mengingatkan timbalan ketua Umno Johor supaya memberi fokus kepada memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan pucuk pimpinan Umno bukannya merendahkan peranan Ismail Sabri Yaakob.

Jamal Yunos mengingatkan Nur Jazlan Mohamed bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan sementara yang diambil alih daripada kegagalan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membidas kritikan Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan berada dalam kedudukan lemah selepas lewat membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri.

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos, berkata sekiranya Nur Jazlan tidak mahu bersimpati dengan beban ditanggung Ismail ketika ini, beliau sepatutnya tidak perlu memburukkan lagi keadaan.

“Oleh itu, sekiranya kita tidak mahu bersimpati pun, sebaiknya janganlah memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Jamal juga mengingatkan Nur Jazlan bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan sementara yang diambil alih daripada kegagalan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Ismail ketika ini sedang memikul beban kegagalan tersebut.

Rabu lalu, Nur Jazlan berkata kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida dalam Jemaah Menteri menjadi petunjuk kedudukan lemah Ismail.

Mengulas lanjut, Jamal berkata Nur Jazlan sepatutnya memberi fokus kepada memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan pucuk pimpinan Umno bukannya merendahkan peranan Ismail.

“Nur Jazlan sepatutnya bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara pada hari ini adalah daripada perdana menteri Umno,” katanya.

Selasa lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa Ismail segera membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida kerana beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikannya.

Muhyiddin berkata, beliau sedang menunggu untuk bertemu Ismail.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida berkata, beliau berharap Ismail akan membenarkannya terus memegang jawatan itu kerana perlu menyelesaikan banyak program yang dimulakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.