
Peguam Siti Kassim pada sidang media berkata, Emilia, 43, terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi yang berterusan dan trauma dihadapinya.
“Dia terperangkap dan tiada pilihan selain menyerah diri,” kata Siti, selain menambah bahawa Emilia tidak menyerah diri secara sukarela tetapi “dengan bantahan”.
Dalam keputusan terdahulu mengenai hak lawatan anak, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Fouzi Mokhtar, berkata Emilia dijatuhi hukuman penjara kerana gagal mematuhi perintah mahkamah.
Fouzi berkata, hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia adalah wajar kerana dia dengan sengaja melanggar penghakiman yang telah direkodkan selepas dipersetujui bersama.
Emilia juga dilaporkan telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa, tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman itu kerana dia menetap di Kajang, Selangor, bukan di Wilayah Persekutuan.
Pada 15 Jun, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia atas kegagalannya hadir dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.
Faisal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana mencederakan Emilia pada 2016.
Emilia dijadual hadir sebagai saksi pendakwaan dalam kes itu.