
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir di Jalan Pengkalan Kampung Nelayan pada 6.12 pagi tadi.
“Bomba menerima maklumat berlaku banjir kilat membabitkan sebuah rumah yang dinaiki air sehingga paras lutut.
“Rumah tersebut dihuni seorang warga emas, seorang dewasa serta tiga kanak-kanak dan mereka sudah berpindah menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Berita Harian.
Kata Hafisham, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kejadian sama di Jalan Perepat, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat, pada 7.19 pagi.
Katanya, sebuah keluarga terdiri daripada dua warga emas, dua dewasa dan seorang bayi berusia enam bulan dipindahkan ke rumah keluarga mangsa yang berhampiran.
“Bagi kedua-dua kejadian tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, namun bomba akan meneruskan pemantauan serta bersedia dari semasa ke semasa,” katanya.
Setakat jam 11 pagi, banjir di kedua-dua kawasan tersebut sudah reda dan tiada keluarga lain yang terjejas.