
Beliau berkata, Najib memintanya untuk tidak “campur tangan dalam 1MDB lagi” pada 2010 apabila membangkitkan isu bayaran USD700 juta kepada Good Star Limited, iaitu sebuah firma yang tiada kaitan dengan 1MDB.
Kemudiannya didedahkan bahawa Good Star dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
“Saya juga memberitahunya sebelum (isu bayaran USD700 juta) bahawa 1MDB tidak patut menjalin usaha sama dengan PSI (PetroSaudi International Ltd) pada 2009 kerana belum ada telaga minyak dan kita akan kehilangan wang.
“Tetapi beliau (Najib) memberitahu saya untuk tidak campur tangan. Ia menunjukkan kuasa yang ada pada beliau,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram.
Terdahulu, Sri Ram bertanyakan sama ada Najib “dengan jelas” menyatakan beliau mempunyai kawalan ke atas 1MDB.
Sri Ram: Sebagai menteri kewangan kedua, adakah anda mempunyai kuasa membuat keputusan dalam 1MDB?
Husni: Tidak.
Semalam, Husni memberitahu mahkamah bahawa Najib berdiam diri mengenai pemindahan USD700 juta kepada Good Star selepas beliau bertanyakan mengapa wang itu tidak dibayar secara terus kepada PSI.
1MDB menjalin usaha sama dengan PSI pada 2009 yang menyaksikan ia perlu membelanjakan USD1 bilion. Ia sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, tetapi hanya USD300 juta dipindahkan ke akaun itu.
Najib kini dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.