
Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Vernon Ong berkata, hakim perbicaraan Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya untuk memberi pembebasan kepada MA Ambika, 62.
“Tiada kekhilafan yang boleh dirayu oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” katanya ketika menolak rayuan pihak pendakwaan.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.
Ambika didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018.
Mahkamah Tinggi di George Town membebaskan Ambika pada 18 April 2019, walaupun pihak pendakwaan hanya memohon untuk dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan Ambika pada tahun lalu.
Ong berkata, panel itu berpendapat, pihak pendakwaan perlu memberi alasan apabila ia tidak mahu meneruskan kesnya.
“Malah berdasarkan rekod rayuan, tiada alasan diberikan pihak pendakwaan (di Mahkamah Tinggi).”
Katanya, DNAA hanya boleh diberikan jika alasan kukuh diberikan.
Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono dan konsul jeneral di Pulau Pinang, Bambang Suharto bersama pegawai kedutaan hadir untuk memerhatikan prosiding hari ini.
Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Rayuan, Nordin Hassan berkata, pihak pendakwaan menerima representasi daripada pasukan peguam Ambika dan tidak meneruskan prosiding terhadapnya.
“Keputusan tidak meneruskan pendakwaan terhadap responden (Ambika) dibuat dua hari sebelum hakim perbicaraan memutuskan untuk membebaskannya,” kata Nordin.
“Atas alasan ini sahaja, penggunaan kuasa budi bicara hakim perbicaraan untuk mengarahkan pembebasan responden adalah wajar.
“Tiada alasan sah untuk pihak pendakwaan memohon kes itu diklasifikasikan sebagai DNAA, selepas diputuskan pendakwaan terhadap responden akan digugurkan.”
Keterangan yang dikemukakan dalam mahkamah bahawa peguam Ambika, Y Anbananthan, menulis representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 4 April 2019 selepas tiga saksi pendakwaan memberi keterangan.
Pada 18 April 2019, seorang timbalan pendakwa raya memaklumkan kepada Akhtar bahawa beliau mendapat arahan daripada pihak atasan untuk tidak meneruskan perbicaraan “buat masa ini”.
Beliau tidak dapat memberikan alasan untuk memohon DNAA, menyebabkan Akhtar membebaskan Ambika berdasarkan Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar berhujah bahawa Mahkamah Rayuan salah tafsir seksyen itu berhubung budi bicara hakim dan jawapan AGC.
Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah dan Ku Hayati Ku Haron turut mewakili pihak pendakwaan.
Ambika turut diwakili peguam Baldev Singh Bhar, yang hadir bersama Anbananthan.
Ambika, yang berkerusi roda, hadir di mahkamah hari ini bersama anak perempuannya, R Jayavartiny.