Henti ‘perang terbuka’ terhadap PM, kata veteran Umno

Henti ‘perang terbuka’ terhadap PM, kata veteran Umno

Veteran Umno, Mustapha Yaakub mengatakan tindakan Nur Jazlan Mohamed mengkritik perdana menteri secara terbuka mampu membawa kesan kepada parti itu.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub, berkata, pemimpin perlu menggunakan saluran bersesuaian supaya musuh tidak mengambil kesempatan daripada perpecahan yang timbul.
PETALING JAYA:
‘Perang terbuka’ antara pemimpin Umno dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu segera dihentikan, kata setiausaha agung veteran parti itu, Mustapha Yaakub.

Katanya, tindakan mengkritik secara terbuka kepimpinan Ismail sangat tidak digalakkan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada parti.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, yang menyifatkan Ismail sebagai lemah kerana lewat membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

“Mana-mana pemimpin parti di peringkat bahagian dan pucuk pimpinan perlu segera menghentikan ‘perang terbuka’.

“Ahli Umno sebaliknya boleh membuat kritikan pada mesyuarat ataupun pertemuan bersemuka, bukannya menerusi saluran media massa dan juga media sosial,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan itu kerana ia adalah amalan tidak sihat, selain merugikan parti.

“Tindakan seumpama ini pastinya menyebabkan ahli parti kecewa dan keliru. Gunakan saluran yang sesuai supaya musuh tidak mengambil kesempatan daripada perpecahan yang timbul,” katanya.

Semalam, Nur Jazlan mengulas mengenai pendirian Ismail tidak menyatakan sama ada jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi yang disandang Zuraida gugur dan digantikan dengan ahli Parlimen Bersatu lain.

Beliau berkata, jelas sekali ini bukan kerana menteri itu penting memandangkan terdapat begitu ramai ahli Parlimen lain yang mampu mengendalikan kementerian itu.

Apabila ditanya sama ada beliau berpendapat Ismail mungkin bimbang tiga ahli Parlimen PBM menarik balik sokongan mereka dan boleh menjejaskan undian rang undang-undang pada sidang Parlimen akan datang, Nur Jazlan berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila kedudukan perdana menteri lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.