
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, pemimpin parti perlu mengelak daripada mengkritik perdana menteri secara terbuka bagi menghindari konflik dan persepsi Umno mempunyai “kem”.
Sambil memberi contoh kenyataan Nur Jazlan yang menggambarkan Ismail sebagai lemah dalam menangani isu kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri, beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung persepsi rakyat bahawa parti itu sedang berpecah.
“Sebab itu saya harap sesiapa menyumbang kepada persepsi bahawa ada pelbagai kem dalam Umno supaya mereka hentikan tindakan tersebut…sebab ini tidak membantu usaha (memperkukuhkan parti).
“Kalau ada sesuatu nak disampaikan sama ada kepada presiden atau kepada perdana menteri, banyak saluran yang ada dan yang terbaik ialah saluran dalaman kerana kepimpinan negara diterajui Umno,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Menteri kesihatan itu berkata, pemimpin Umno sepatutnya memberi contoh ke arah penyatuan, bukan menjurus kepada perpecahan parti.
“Saya dulu banyak komen terhadap pemimpin lain dalam Umno, tapi sekarang adalah masa untuk kita bina semula parti. Kalau tak setuju cakap dalam mesyuarat atau secara peribadi, tak perlu kita nak melemahkan parti kita dengan komen tak baik di media atau khalayak,” katanya.
Khairy berkata, Umno hanya tinggal setahun sahaja lagi untuk membuktikan barisan kepimpinannya bersatu dan kuat menjelang pilihan raya umum.
“Jadi bila kita sudah tinggal hanya setahun, baik kita tunjukkan barisan kepimpinan bersatu, kuat dan tiada apa-apa perbalahan sebab rakyat nak lihat kejujuran, kecekapan kita membela nasib rakyat. Mereka nak undi parti yang ada kesatuan tinggi, bukannya memilih parti yang sentiasa berbalah,” katanya.
Sebelum ini Nur Jazlan berkata, kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida dalam Jemaah Menteri menjadi petunjuk kelemahan Ismail sebagai pemimpin.
“Tidak pernah seorang perdana menteri Umno selemah ini dalam sejarah negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan bahawa kes Covid-19 dijangka meningkat dan meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.
Mengulas isu penyakit cacar monyet, Khairy berkata, lima kes yang disyaki dikesan di Malaysia membabitkan virus itu semuanya didapati negatif setakat ini.