
Penduduk kampung menemui mayat Heli Nyalong, 36, terapung pada 9.40 malam Rabu.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, mayat mangsa ditemui terapung berhampiran perahunya yang hanyut.
Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian katanya, mangsa dipercayai terjatuh selepas perahunya terlanggar pokok di empangan hidroelektrik berkenaan.
“Mayat mangsa yang berasal dari Uma Bakah, Sungai Asap di Belaga ditempatkan di rumah panjang sementara menunggu dibawa ke Hospital Nyabau di Bintulu.
“Mayat dibawa dari rumah panjang ke jeti Bakun pada 6.30 pagi ini untuk dihantar ke Hospital Nyabau untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Polis Belaga memaklumkan kehilangan mangsa kepada JBPM pada 3.15 petang Selasa lalu.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga yang turut dibantu oleh lima anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam, dua anggota Lembaga Sungai Sarawak dan 46 penduduk kampung.