Bantuan tunai tak guna jika tarif elektrik naik, pemimpin PH beritahu Putrajaya

Bantuan tunai tak guna jika tarif elektrik naik, pemimpin PH beritahu Putrajaya

Lim Guan Eng dan Salahuddin Ayub berkata, jika tarif elektrik dinaikkan bulan depan, ia akan menambah beban rakyat susulan kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, bantuan tunai kerajaan tidak membantu rakyat jika mereka perlu membayar bil elektrik lebih tinggi.
PETALING JAYA:
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) membidas bantuan tunai tambahan kerajaan sebagai tidak memanfaatkan rakyat, khasnya menjelang kenaikan tarif elektrik mulai bulan depan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menghalang Tenaga Nasional Bhd (TNB) menaikkan tarif elektrik pada bulan depan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pula membidas langkah menaikkan tarif elektrik sebagai tidak wajar ketika orang ramai bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Lim menyifatkan bantuan kewangan berjumlah RM630 juta yang diumumkan Ismail “mengecewakan” dan “tidak komprehensif”.

“Sebagai permulaan, beliau sepatutnya mengumumkan bahawa TNB tidak dibenar menaikkan tarif elektrik mulai bulan depan.”

Ini kerana katanya, keuntungan bersih TNB pada akhir tahun kewangan 2021 meningkat kepada RM3.66 bilion berbanding RM3.59 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, TNB dengan jelas mempunyai kemampuan untuk menyerap kenaikan harga gas dan arang batu.

Salahuddin berkata, pengumuman bantuan tunai tambahan akan terbukti tidak berguna jika rakyat terpaksa membayar bil elektrik lebih tinggi.

“Kerajaan harus menangguhkan kenaikan tarif elektrik sehingga krisis harga makanan selesai.”

Jemaah Menteri akan menyemak semula tarif elektrik pada 1 Julai ini akibat lonjakan harga arang batu yang menyebabkan kos pengeluaran meningkat.

Semalam Ismail mengumumkan kenaikan dalam Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) susulan pemansuhan harga siling dan subsidi tertentu, selain kenaikan harga barang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.