Zuraida nafi jumpa PM secara berasingan

Zuraida nafi jumpa PM secara berasingan

Difahamkan, ahli Parlimen Ampang itu sudah dua kali menyertai mesyuarat Kabinet sejak pengumumannya menyertai PBM 8 Jun lalu yang dilaksanakan secara fizikal.

Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bertemu Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet pagi ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin menafikan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secara berasingan bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri.

Sebaliknya Zuraida berkata, beliau bertemu Ismail dalam mesyuarat Kabinet pagi ini.

“Pagi ini saya hadir mesyuarat Kabinet,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas pertemuannya bersama Ismail.

Ditanya sama ada Ismail sudah memanggilnya, Zuraida hanya menjawab ringkas: “Belum”.

Terdahulu, media melaporkan Zuraida bertemu Ismail sebelum mesyuarat Kabinet dipercayai mengenai kedudukan beliau selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Difahamkan, Zuraida sudah dua kali menyertai mesyuarat Kabinet sejak pengumumannya menyertai PBM 8 Jun lalu yang dilaksanakan secara fizikal.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa Ismail supaya segera membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida kerana beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikannya. Katanya, beliau sedang menunggu masa untuk bertemu Ismail.

Pada Ahad, Zuraida berkata, beliau berharap Ismail akan membenarkannya terus memegang jawatan itu kerana perlu menyelesaikan banyak program yang dimulakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.