Tuntutan palsu RM300 juta: 4 individu dibebas dengan jaminan SPRM

Tuntutan palsu RM300 juta: 4 individu dibebas dengan jaminan SPRM

Peguam berkata perintah tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berikutan tempoh reman selama enam hari ke atas semua mereka berakhir hari ini.

Empat individu sebelum ini ditahan oleh SPRM kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di pantai timur bernilai lebih RM300 juta.
KUALA TERENGGANU:
Empat individu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Vivek Sukumaran yang mewakili keempat-empat suspek berkata, selepas mendengar bantahan serta hujahan beliau, perintah tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berikutan tempoh reman selama enam hari ke atas semua mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun itu berakhir hari ini.

“Sekarang status kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi tidak ada pertuduhan berlaku lagi. Tiada permohonan sambung reman dibuat kerana semua pihak memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

“Saya harap semua pihak jangan buat sebarang spekulasi lagi. Beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Vivek enggan mendedahkan jumlah wang jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Menurut laporan sebelum ini, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam bidang hartanah adalah antara empat individu ditahan kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur bernilai lebih RM300 juta.

Tiga lagi yang ditahan adalah pengarah syarikat, pengurus projek dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.