Skandal 1MDB ‘patut’ boleh dielak, kata Kit Siang

Skandal 1MDB ‘patut’ boleh dielak, kata Kit Siang

Veteran DAP berkata skandal 1MDB boleh dielak jika kerajaan menerima cadangan jawatankuasa siasatan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) pada 1986.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata beliau pernah menggesa suruhanjaya siasatan diraja dibentuk bagi mengambil tindakan susulan terhadap kajian jawatankuasa BMF.
PETALING JAYA:
Skandal 1MDB sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kerajaan Dr Mahathir Mohamad menerima cadangan oleh jawatankuasa siasatan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) berhubung skandal RM2.5 bilion BMF, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada Mac 1986, beliau menggesa supaya suruhanjaya siasatan diraja dibentuk untuk membuat siasatan susulan berhubung hasil kajian jawatankuasa BMF, tetapi malangnya itu tidak berlaku.

“Saya memberikan amaran bahawa melainkan konspirator skandal ini dibawa ke muka pengadilan, satu lagi skandal perbankan atau kewangan yang 10 atau 20 kali ganda lebih besar daripada skandal BMF akan terjadi.

“Malangnya perkara ini benar-benar terjadi, tiga dekad kemudian dalam bentuk skandal mega 1MDB,” katanya, sambil menambah bahawa beliau teringat perkara ini semasa membaca memoir Chooi Mun Sou bertajuk “Malaysia My Home – Quo Vadis”.

Chooi, seorang peguam, antara tiga ahli jawatankuasa siasatan BMF yang diketuai ketua juruaudit negara ketika itu, Ahmad Noordin Zakaria.

Skandal BMF menggemparkan negara pada awal 1980-an susulan pendedahan bahawa institusi kewangan itu telah memberikan pinjaman dalam jumlah melebihi modalnya, menyebabkan kerugian RM2.5 bilion dalam proses itu.

Skandal itu juga memaksa kerajaan menyelamatkan syarikat induk BMF, Bank Bumiputra Malaysia Bhd.

Lim menyatakan bahawa pelaku utama skandal BMF telah dibawa ke muka pengadilan, namun hakikatnya adalah semua tindakan yang diambil bukan hasil usaha kerajaan Malaysia, sebaliknya pihak berkuasa Hong Kong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.