Saman fitnah Dzulkefly terhadap Najib didengar Jun 2024

Saman fitnah Dzulkefly terhadap Najib didengar Jun 2024

Peguam bekas menteri kesihatan itu, SN Nair, berkata perbicaraan dijadual berlangsung pada 3 hingga 6 Jun 2024.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad memfailkan saman pada 31 Dis tahun lalu, susulan hantaran dibuat Najib Razak di Facebook mendakwa beliau mengamalkan nepotisme.
PETALING JAYA:
Perbicaraan saman fitnah bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad, terhadap Najib Razak ditetapkan selama empat hari bermula Jun 2024.

Peguam mewakili Dzulkefly, SN Nair, berkata tarikh perbicaraan itu ditetapkan dalam pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Izzah Hassan Basri.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri diwakili peguam, Wan Mohammad Arfan Wan Othman.

Nair, yang dibantu Jaden Phoon Wai Ken dalam kes itu berkata perbicaraan dijadual bermula pada 3 hingga 6 Jun.

“Semua tindakan pra-perbicaraan berhubung kes ini, termasuk memfailkan dokumen, sudah dibuat,” katanya kepada FMT.

Ditanya berhubung mengapa perbicaraan akan bermula dalam tempoh dua tahun, beliau berkata: “Itu adalah tarikh paling awal yang ada dalam diari mahkamah.”

Dzulkefly memfailkan saman pada 31 Dis tahun lalu, susulan hantaran Facebook dibuat Najib yang mendakwa bekas menteri kesihatan itu melakukan amalan nepotisme berhubung lantikan anak perempuannya, Nurul Iman, sebagai ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia pada 2019.

Dalam kenyataan tuntutan, Dzulkefly berkata, Najib memfitnahnya dengan dakwaan dibuat dalam hantaran di Facebook, pada 24 Ogos 2024, seperti dilaporkan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu yang menafikan dakwaan nepotisme, berkata hantaran Najib masih boleh dibaca di akaun Facebook miliknya, setakat November 2021.

Beliau mendakwa, pelantikan Nurul Iman dibuat sebelum dilantik sebagai menteri kesihatan dalam kerajaan Pakatan Harapan dan mengatakan anaknya itu dilantik semula atau dikekal kedudukannya dalam pertubuhan mikrokredit itu, tahun lalu.

Najib, dalam pembelaannya berkata, beliau tidak mempunyai niat memfitnah Dzulkefly dalam hantaran dibuat, namun sekadar menggariskan “hipokrasi” gabungan PH dalam mendakwa berlakunya amalan nepotisme dan kronisme terhadap gabungan politik, Barisan Nasional.

Hantaran Najib di Facebook itu turut dikepilkan tangkap layar (disiarkan pada 28 Jan 2019 – 19 bulan sebelum hantaran Najib di Facebook), dengan Ahli Parlimen Pekan itu berkata, hantaran berkenaan membenarkan masyarakat secara adil menilai isu dibangkitkan.

Kritikan dibuat merujuk kepada pelantikan jawatan dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun ketika PH menguasai kerajaan (bermula Mei 2018 hingga Februari 2020), pelantikan hampir sama juga dilakukan, tambah Najib dalam pembelaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.