
Pengguna Facebook, Rosmalina Roslan memuat naik kisah kanak-kanak itu di media sosial selepas menemui pelajar terbabit menjual cendawan di rumahnya di Kota Masai, Johor pada Ahad lalu.
Ejen insurans itu berkata, beliau pada awalnya tidak mahu membeli cendawan daripada kanak-kanak itu, tetapi menjemputnya masuk ke rumah kerana tidak sampai hati melihatnya menunggu di bawah cuaca panas.
“Saya di dalam pada mulanya tak nak beli, tetapi agak lama dia berada di depan rumah sambil duduk dan bagi salam tak putus-putus. Saya ajak makan sebab kesian tengok dengan cuaca panas lagi,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia tinggal di Cahaya Baru, Johor dan bapanya bekerja dengan Jabatan Sukarelawan (Rela), manakala ibunya yang menetap di Pahang akan balik seminggu sekali.
Katanya, pelajar Darjah 6 itu memberitahu dia biasanya menjual cendawan dari Rabu hingga Sabtu, tetapi disebabkan tidak habis, bapanya memintanya berniaga pada Ahad, yang merupakan hari persekolahan di Johor.

Bagaimanapun, Rosmalina bimbang dengan catatannya yang mengundang pelbagai persepsi daripada warganet, termasuk beberapa komen mempersoalkan tindakan bapa kanak-kanak itu menyuruhnya menjual cendawan, bukannya ke sekolah.
“Saya takut sebenarnya bila dah ‘viral’, takut orang salahkan saya, sebab tengok komen ada yang mendoakan, ada yang marah pada ayah budak ini, serba salah pula rasanya.
“Kena siasat dulu keluarga mereka macam mana, kalau boleh ada pihak buat siasatan dan bantu keluarga ini sewajarnya.”