Patriot persoal cadangan Hisham wujudkan kebun sayur di kem tentera

Patriot persoal cadangan Hisham wujudkan kebun sayur di kem tentera

Presidennya, Brig-Gen (B) Arshad Raji khuatir tanggungjawab tambahan mengusahakan kebun sayur mungkin akan mengganggu tugas hakiki tentera.

Presiden Patriot Brig Jen (B) Arshad Raji bertanya sama ada askar akan dibebani dengan tugas tambahan menerusi rancangan Hishammuddin Hussein mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meminta Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mendedahkan secara terperinci cadangan mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera seperti yang diumumkannya.

Presidennya, Brig-Gen (B) Arshad Raji menimbulkan persoalan berhubung penglibatan angkatan tentera dalam cadangan itu.

“Kita juga perlu bertanya sejauh mana anggota tentera negara perlu terlibat dalam kerjaya baharu ini,” katanya dalam kenyataan.

“Adakah bahagian atau platun pekebun sayur akan dibentuk di setiap kem? Adakah dana khas yang diperuntukkan oleh menteri untuk tujuan ini?”

Hishammuddin semalam berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan terjamin, terutamanya bagi keperluan anggota tentera.

Katanya, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan dipilih sebagai projek perintis.

Arshad berkata, idea Hishammuddin itu menggambarkan seolah-olah anggota tentera akan dibebani dengan tanggungjawab tambahan menjadi pekebun sayur, di samping tugas hakiki mereka.

Walaupun mengakui jaminan makanan adalah isu mendesak yang harus ditangani segera, beliau berkata, rancangan itu tidak akan berfungsi dengan baik dengan kepimpinan angkatan tentera.

“Ini kerana formasi dan unit angkatan tentera mempunyai jadual latihan tetap mereka tersendiri yang perlu dipenuhi bagi memastikan kesediaan anggota sentiasa pada tahap terbaik.

“Menjadikan askar pekebun sayur akan menghalang mereka daripada (menjalani) latihan ketenteraan yang penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.