Kerajaan digesa lanjutkan pengecualian SST bagi semua kereta didaftar menjelang Mac

Kerajaan digesa lanjutkan pengecualian SST bagi semua kereta didaftar menjelang Mac

Melanjutkan tarikh akhir pendaftaran kenderaan tetapi bukan pengecualian SST dikatakan akan menyebabkan tempahan terlalu banyak sehingga menyusahkan penjual.

Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini mengumumkan bahawa pengecualian SST tidak akan dilanjutkan selepas 30 Jun walaupun pembeli yang menempah kenderaan sebelum tarikh itu akan diberikan tempoh sehingga 31 Mac untuk mendaftarkannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan kenderaan bermotor menggesa kerajaan supaya melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi mereka yang menempah kenderaan selepas 30 Jun selagi mereka mendaftarkannya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac tahun depan.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Tony Khor berkata, melanjutkan tarikh akhir pendaftaran kenderaan tetapi bukan pengecualian SST akan menyebabkan tempahan terlalu banyak sehingga menyusahkan penjual.

“Kami sudah dapat lebih 200,000 tempahan dan bukan mudah untuk menguruskan permintaan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa pengecualian SST tidak akan dilanjutkan selepas 30 Jun walaupun pembeli yang menempah kenderaan sebelum tarikh itu akan diberikan tempoh sehingga 31 Mac untuk mendaftarkannya.

Khor berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyandarkan pengecualian SST pada tarikh pendaftaran, bukan tarikh tempahan.

Bagaimanapun katanya, beliau gembira dengan tempoh tambahan sembilan bulan yang diberikan untuk pendaftaran, mengambil kira penurunan pengeluaran kereta yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.

Pengecualian penuh cukai diberikan bagi kereta yang dipasang di dalam negara dan pengecualian 50% bagi kereta import sehingga 30 Jun, iaitu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan di tengah-tengah sekatan Covid-19.

Pakar ekonomi Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, langkah kerajaan tidak melanjutkan pengecualian itu adalah tepat.

“Kita sedang pulih daripada (impak) Covid-19 dan kita harus memansuhkan langkah-langkah khas yang dilaksanakan untuk menyokong pelbagai sektor semasa krisis yang disebabkan oleh dasar itu,” katanya.

Beliau berkata, mungkin terdapat peningkatan jualan kenderaan dalam tempoh 10 hari akan datang, tetapi keadaan dijangka kembali normal selepas itu.

“Akan ada sedikit turun naik dalam jualan tetapi lambat laun ia akan reda,” katanya kepada FMT.

“Tiada implikasi jangka panjang ke atas ekonomi atau sektor automotif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.