Keputusan 3 PRN bukti rakyat pilih parti ada pengalaman, kata Saarani

Keputusan 3 PRN bukti rakyat pilih parti ada pengalaman, kata Saarani

Menteri besar Perak itu berkata kegagalan PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak menunjukkan rakyat belajar daripada kesilapan.

Saarani Mohamad yang juga ketua Umno Perak, berkata hanya kerajaan berpengalaman, selain mempunyai kekuatan di seluruh negara boleh membentuk kerajaan stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor membuktikan rakyat sudah belajar daripada kesilapan daripada memilih kerajaan yang tidak berpengalaman memerintah, dakwa Ketua Umno Perak Saarani Mohamad.

Bagaimanapun, katanya kerajaan ditubuhkan pemimpin berpengalaman belum tentu dapat memberi jaminan kestabilan kerajaan, sambil memberi contoh kerajaan 22 bulan diterajui Dr Mahathir Mohamad yang gagal kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai pengalaman.

“Kita tengok apa berlaku di Melaka, Sarawak dan Johor, rakyat sudah belajar daripada kesilapan itu.

“Mereka memilih kerajaan yang berpengalaman, yang ada kekuatan di seluruh negara dan boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Saarani yang juga menteri besar Perak, berkata kerajaan kuat dan stabil perlu datang daripada kerajaan berpengalaman.

“Saya yakin pengundi Malaysia sekarang sudah cerdik, matang dan boleh membuat keputusan kerana mereka sudah ada pengalaman berada dalam sebuah kerajaan BN (Barisan Nasional).

“Jadi rakyat boleh membuat perbandingan kerana yang penting rakyat mesti bijak, matang memilih sebuah kerajaan kuat dan stabil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.