Institut memandu padat, pelajar terpaksa tunggu 6 bulan jalani ujian

Institut memandu padat, pelajar terpaksa tunggu 6 bulan jalani ujian

Persatuan berkata, ia berpunca daripada institut memandu tidak beroperasi selama lapan bulan susulan pandemik Covid-19 dan kekurangan penguji JPJ.

Persatuan Institut Memandu Malaysia berkata, lambakan pelajar berpunca daripada institut memandu tidak beroperasi selama lapan bulan susulan pandemik Covid-19 dan kekurangan penguji JPJ. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon yang hendak menjalani ujian lesen memandu percubaan (PDL) di institut memandu terpaksa menunggu giliran sekurang-kurangnya enam bulan kerana terlalu banyak permohonan susulan pandemik Covid-19 selama dua tahun.

Menurut laporan Utusan Malaysia, hampir separuh daripada 236 pusat latihan memandu yang berdaftar di seluruh negara menghadapi masalah itu kerana terletak di lokasi padat penduduk, pertindihan pelajar yang banyak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikatakan kekurangan kakitangan atau penguji untuk ditempatkan di institut memandu.

Keadaan itu menyebabkan ada calon yang terpaksa menukar permohonan ke negeri tiada masalah sedemikian, contohnya Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar berkata, keadaan di luar jangka itu berpunca daripada institut memandu tidak beroperasi selama lapan bulan susulan pandemik Covid-19 dan kekurangan penguji JPJ.

Namun katanya, keadaan yang berlaku itu adalah bermusim, khasnya selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar yang mahu mendapatkan lesen secara serentak.

“Banyak pihak bertanggungjawab tentang isu ini, bermula daripada MyEG Services Bhd (MyEG) yang menjadi tempat pusat ujian komputer yang tidak mampu menampung jumlah pelajar yang banyak.

“JPJ menghantar 13 orang ke pusat latihan memandu untuk menguji pelajar, setiap orang boleh menguji maksimum 15 pelajar, kira-kira sehari 195 orang mereka dapat uji, dalam masa sebulan pula ha­nya kira- kira 780 orang berjaya diuji.

“JPJ ada membuka peluang untuk menambahkan hari ujian dilaksanakan, ia tidak memberi untung kepada kami kerana penggunaan litar adalah punca pendapatan pengajar, saya ya­kin JPJ akan bertindak pantas juga dalam isu ini.”

Pengarah institut memandu Sur­fine Hitech Sdn Bhd, Hanafi Mat Zin yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam industri itu berkata, ini kali pertama lambakan pelajar memandu menunggu giliran lama sekurang-kurangnya enam bulan.

Beliau berkata, terdapat 26 institut memandu di Selangor dan JPJ mungkin menghadapi masalah kakitangan tidak mencukupi.

Daripada lebih 4,000 calon yang menunggu giliran katanya, ia kini berbaki 20% dan masalah itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

“Untuk dapat lesen PDL, jumlah pemohon agak tinggi, pelajar sudah habis SPM, dalam tempoh ini digunakan buat le­sen memandu, anggaran satu bulan 2,000 orang mendaftar ujian memandu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.