
Katanya, hasil kerajaan perlu digunakan bagi membantu rakyat terjejas dan bukannya projek berskala besar.
“Bagaimana pula golongan yang tidak dapat bantuan? Semuanya kena dapat manfaat yang terbaik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, dalam menghadapi tekanan ekonomi semakin mencabar, pengguna juga perlu memainkan peranan mengawal perbelanjaan memandangkan beberapa subsidi barangan asas telah ditarik.
Nadzim berkata demikian sebagai reaksi pengumuman khas kerajaan berkaitan penghapusan subsidi beberapa barangan asas dan bantuan tunai tambahan kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang, masih tidak memadai dan kerajaan perlu melihat bantuan bersifat jangka panjang.
Katanya, bagi membantu golongan B40 kerajaan juga boleh menyediakan peruntukan bagi penyediaan kursus kemahiran supaya rakyat boleh bergerak ke hadapan.
“Kita cadangkan, sebagai contoh siapa yang nak meniaga kerajaan bantu, seperti bantu mereka dapat lesen, jadi di sini kerajaan pun boleh kurangkan pengeluaran dana kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata penghapusan subsidi tepat pada masanya, kerana bantuan diberikan itu sepatutnya dinikmati golongan sasar, bukannya golongan kaya.
Jelas Mohideen, punca utama masalah kenaikan harga barangan bukan disebabkan tindakan kerajaan menarik subsidi barangan asas, sebaliknya faktor kebergantungan kerajaan kepada barangan import.
“Sebagai contoh ayam, ada dua masalah, kita tak keluarkan anak ayam baka dan makanan untuk ayam, tu (itu) sebahagian besar dan semua kita import dari luar. Akibatnya bila timbul krisis di luar, rantaian perdagangan terjejas, kita hadapi masalah.
“Selesaikan masalah dasar ekonomi, selesaikan kebergantungan makanan import, macam beras kita import 30%, daging lebih 80% dan makanan ayam kita import dari luar, itu punca masalah. Lebih baik tumpu punca masalah. Ambil tindakan kebergantungan,” katanya.