
Ini selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said mendengar hujahan lanjut daripada perayu dan responden sebagai maklum balas kepada keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
“Kami sangat jelas sekarang berikutan hujahan yang kuat. Kami masih perlu meneliti apa saja yang kami fikirkan sebelum hujahan hari ini,” kata Kamaludin selepas prodising secara dalam talian.
Kamaludin yang turut bersidang bersama Azizah Nawawi dan S Nantha Balan berkata, keputusan itu akan disampaikan di mahkamah terbuka.
Panel itu dijadual menyampaikan keputusan hari ini selepas mendengar hujahan pada 23 Mac.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin menulis kepada mahkamah untuk mengemukakan hujahan lanjut susulan keputusan mahkamah tertinggi pada April, sebulan selepas hujahan terhadap rayuan pada 23 Mac.
Liew menghujahkan bahawa pindaan 2001 kepada Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan diskriminasi jantina sebagai tidak berperlembagaan adalah berdasarkan prinsip undang-undang ditetapkan dalam keputusan mahkamah tertinggi.
“Perkara 8(2) merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak dibenarkan untuk dipinda,” katanya.
“Ibu-ibu (yang merupakan responden) tidak boleh bergantung kepada peruntukan ini yang menghapuskan diskriminasi jantina untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.”
Katanya, pindaan untuk menghapuskan sebarang diskriminasi berdasarkan jantina juga tidak bertujuan menjejaskan pemberian kerakyatan.
“Jadi hujah mereka bahawa perkataan ‘bapa’ juga boleh bermakna ‘ibu’ adalah gugur,” katanya selain menambah bahawa tafsiran sedemikian akan membawa kepada penghasilan “perlembagaan baharu”.
Beliau berkata, sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat oleh Parlimen, bukan mahkamah kerana ia tidak mempunyai mandat itu.