
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini beliau enggan mengulas sebarang laporan media mengenai Willie dan berharap isu berbangkit itu diselesaikan secara baik.
“Dia (Willie) sudah dihubungi oleh Azmin dan pimpinan Bersatu.
“Saya percaya kalau Willie dapat jumpa dengan Azmin, lepas itu jumpa saya. Kita akan dapat leraikan apa-apa yang berbangkit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Ruang Belia di Sime Darby Convention Centre.
Semalam, Willie memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), komponen terbesar dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Willie berkata, permohonan itu dibuat beberapa bulan yang lalu tetapi beliau masih belum menerima keputusan sama ada ia diterima atau sebaliknya.
Katanya, beliau tidak menyertai mana-mana parti tetapi hanya “diparkirkan” dalam parti itu untuk menyokong kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, apa yang penting, partinya itu perlu memberi sokongan kepada Willie dan isu berbangkit mengenai keahliannya itu dapat diselesaikan secara ‘keluarga’.
“Yang penting saya fikir kita beri dia sokongan (dan) beri jawatan. Seeloknya dia bincang macam anak beranak. Leraikan secara bersama,” katanya.