
“Kita perlu cari jalan yang terbaik,” kata Zahidi sekali gus mengingatkan bahawa seseorang tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
Beliau mengulas beberapa pemimpin Umno yang dikatakan menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), syarikat terbabit dalam perbicaraan rasuah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Pada 13 Jun lalu, bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa syarikatnya memberi sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 kepada Umno Bahagian Rembau, di mana Khairy Jamaluddin adalah timbalan ketua bahagian itu.
Tetapi, katanya, dana itu bukan diberikan secara langsung atau peribadi kepada Khairy.
Terdahulu, menteri kesihatan itu dilaporkan berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang dana politik daripada syarikat itu dan sedia membantu siasatan pihak berkuasa.
Selain Khairy, seorang lagi saksi pendakwaan dalam perbicaraan Zahid, iaitu bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan menamakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, turut dicatat dalam lejar UKSB.
Zahidi berkata demikian pada sidang media selepas menerima memorandum daripada Pemuda Umno berkaitan isu Digital Nasional Berhad (DNB) di Angkasapuri.
Beliau diminta pemberita mengulas dakwaan beberapa ahli politik menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Beberapa pemimpin Umno ketika ini berdepan kes di mahkamah, termasuk Presiden Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak.
Zahidi berkata Umno hanya akan membincangkan langkah seterusnya selepas keputusan mahkamah.
“Kita tak tahu lagi sebab kes sedang dibicarakan,” katanya, dan menambah ahli Umno berharap pemimpin mereka selamat.