Pemuda Umno lapor isu DNB kepada SPRM

Pemuda Umno lapor isu DNB kepada SPRM

Laporan SPRM itu dibuat bagi memastikan tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam pelancaran 5G bagi mengelakkan skandal kewangan yang besar.

Exco Pemuda Umno, Fairuz Jamaludin juga menggesa DNB mendedahkan kos sebenar pelancaran rangkaian 5G dan penjelasan terperinci mengenai kadar borong untuk syarikat telekomunikasi.
KUALA LUMPUR:
Pemuda Umno membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan berkenaan pelancaran rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Exco pemudanya, Fairuz Jamaludin berkata, pihaknya turut menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Fairuz dalam sidang media bersama Zahidi hari ini menggesa Putrajaya menjalankan siasatan terperinci terhadap DNB bagi memastikan tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam pelancaran 5G bagi mengelak skandal kewangan yang besar.

“Pemuda Umno berpendapat inisiatif mega ini perlu ada ketelusan yang tertinggi dalam pelaksanaan kerana segala beban kos DNB akan ditanggung oleh rakyat pada masa akan datang melalui bayaran perkhidmatan 5G tersebut,” katanya.

Fairuz turut menggesa DNB mendedahkan kos sebenar pelancaran rangkaian 5G dan penjelasan terperinci mengenai kadar borong untuk syarikat telekomunikasi.

Memorandum itu turut menyebut bahawa Pemuda Umno tidak mahu satu lagi skandal korporat terbesar yang boleh mencemarkan nama negara.

Pihaknya turut menggesa supaya SPRM meminjamkan pegawainya kepada DNB bagi memastikan perolehan dan perbelanjaannya disemak dan pengurusan tertinggi syarikat mengemukakan pengisytiharan aset.

Sementara itu, Zahidi yang menerima memorandum tersebut berkata, beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) dan Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.