KPM digesa segera bincang harga makanan, kadar RMT dengan pengusaha kantin

KPM digesa segera bincang harga makanan, kadar RMT dengan pengusaha kantin

Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching mendakwa Kementerian Pendidikan tidak responsif dalam mengadakan libat urus dengan pengusaha kantin selama ini.

Pengusaha kantin sekolah di Selangor tidak dapat menaikkan harga makanan kerana terikat dengan kontrak dan kadar RM2.50 mengikut Rancangan Makanan Tambahan yang tidak lagi memadai susulan kenaikan mendadak kos bahan mentah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching menggesa kerajaan segera berbincang dengan pengusaha kantin dan Kementerian Kesihatan bagi menyelaras harga makanan yang dijual di sekolah susulan kenaikan mendadak harga bahan mentah.

Ini kerana beliau mendakwa Kementerian Pendidikan (KPM) tidak responsif dalam mengadakan libat urus dengan pengusaha kantin selama ini.

“Bukannya tidak boleh menyelaraskan harga, tapi disebabkan kenaikan harga itu turut membawa kesan kepada ibu bapa mahupun pelajar, jadi libat urus KPM adalah penting dalam menangani isu kos makanan secara berkesan.

“Mereka tidak menghantar sebarang wakil untuk hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan pada 13 Jun lalu. Agak tak profesional dan mengecewakan,” katanya kepada FMT.

Teo berkata demikian susulan rungutan pengusaha kantin sekolah di Selangor yang tersepit dengan kenaikan harga bahan mentah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi, tetapi tidak dapat menaikkan harga makanan kerana terikat dengan kontrak yang dimeterai dengan sekolah.

Pada masa sama, pengusaha kantin turut menyeru kerajaan mengkaji semula jumlah yang diperuntukkan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana kadar bayaran bagi setiap hidangan tidak lagi memadai ketika ini lebih-lebih lagi mereka dikehendaki menggunakan bahan asli dan berkualiti.

RMT dilaksanakan sejak 1979 sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memperbaiki kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan mereka.

Kadar RMT ketika ini ialah RM2.50 untuk pelajar di Semenanjung dan RM3 bagi pelajar di Sarawak, Sabah serta Labuan.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim bersetuju dengan keperluan penyelarasan harga makanan di kantin berikutan kenaikan mendadak harga bahan mentah baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, penyelarasan harga makanan di kantin mahupun kadar RMT perlu dibincang secara terperinci dengan mengambil kira kos bahan mentah, buruh, sewa dan keuntungan.

“Jika lihat dalam jangka panjang, KPM perlu membantu pengusaha dalam usaha mendapatkan bahan-bahan tempatan bagi meminimumkan kos.

“Ini dapat menjamin kebajikan pelajar dan pada masa sama turut menjaga kepentingan pengusaha.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.