Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, 2 remaja bebas

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, 2 remaja bebas

Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Samirah Muzaffar bersama tiga individu lain didakwa membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, di rumah mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Samirah Muzaffar dan dua orang remaja daripada tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, iaitu suami Samirah, empat tahun lepas.

Hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Samirah, 47, dua remaja itu yang kini berusia 16 dan 19 tahun, serta pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas didakwa membunuh Nazrin di rumah mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

Dalam keputusannya, Karim berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Nazrin meninggal dunia antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

“Pihak pendakwaan menyatakan bahawa si mati meninggal dunia dalam tempoh ini, namun keterangan daripada kakaknya (Che Elainee Che Hassan) menyatakan bahawa dia (Nazrin) melihat mesej pada 11.50 malam.

“Tiada keterangan langsung bahawa mereka (Samirah dan dua remaja) melakukan kesalahan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan hanya “menganggap” Samirah dan dua remaja itu bersama Nazrin semasa dia meninggal dunia.

Katanya lagi, pihak pendakwaan cuba mengaitkan Samirah dengan menyatakan dia tidak memaklumkan pihak bomba dan penyelamat, serta tidak “sedih” dengan kematian suaminya.

“Bagaimanapun, tindakannya hanyalah persepsi pihak pendakwaan,” katanya.

Hakim itu juga berkata, motif pembunuhan Nazrin “tidak jelas”.

“Pihak pendakwaan cuba memberi gambaran bahawa ia berpunca daripada wang (insurans), tetapi pada masa yang sama mereka mengakui dalam hujah bahawa motif dalam kes ini tidak jelas,” kata Karim.

Kami sedia jika AGC failkan rayuan, kata Shafee

Selepas prosiding tamat, peguam utama Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan bersedia sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) mencabar pembebasan Samirah dan remaja terbabit.

“Jika ada rayuan, kita ada peluang untuk menang kerana kami fikir keputusan itu akan dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Che Hassan, memberitahu pemberita mereka berharap AGC akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan mohon inkues untuk menyiasat punca kematiannya,” kata Aziz yang hadir di mahkamah bersama ahli keluarga lain.

Perbicaraan pembunuhan Nazrin bermula pada 6 Sept 2019 dan berakhir pada 22 April tahun ini.

Pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan, termasuk Aziz, Che Elainee, serta dua pakar patologi Dr Siew Sheue Fong dan Dr Prashant Sanberker yang menjalankan dua bedah siasat berasingan ke atas mayat Nazrin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.