Isu Pulau Batu Puteh: Mahkamah tetap 1 Jul untuk keputusan

Isu Pulau Batu Puteh: Mahkamah tetap 1 Jul untuk keputusan

Hatta Sanuri memfailkan saman itu pada 28 Mei tahun lalu, dengan menamakan Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan sebagai defendan.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan menarik balik permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang memihak kepada Singapura. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 1 Jul untuk membuat keputusan terhadap permohonan kerajaan bagi membatalkan saman oleh seorang individu berkaitan isu kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, berkata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah dikemukakan pihak-pihak ketika prosiding yang diadakan dalam talian.

Hatta Sanuri memfailkan saman itu pada 28 Mei tahun lalu, dengan menamakan Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan sebagai defendan. Beliau mempertikaikan tindakan kerajaan menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Dalam hujahnya, Shamsul berkata isu yang dipertikaikan tidak boleh dilayan oleh mahkamah kerana melibatkan dasar kerajaan.

Shamsul turut berhujah tindakan Hatta memfailkan saman itu bagi pihak dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia adalah satu penyalahgunaan proses. Malah, katanya Hatta tiada hak dari segi undang-undang untuk mengemukakan tindakan itu.

Sementara itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili Hatta berhujah, jika permohonan anak guamnya itu dibatalkan ini akan bercanggah dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, untuk mewujudkan pasukan petugas khas serta menyerahkan laporan kepada kerajaan berkaitan isu itu.

Katanya, wujud persoalan penting untuk dipertimbangkan, yang hanya dapat diteliti dalam perbicaraan.

Menurutnya, defendan memutuskan untuk menarik balik permohonan itu tanpa berunding dengan peguam negara seperti diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan untuk mengetepikan keputusan ICJ yang memberi bidang kuasa Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hatta mendakwa kerajaan tidak memberi penjelasan untuk penarikan balik itu, walaupun wujud bukti baharu menunjukkan hak Malaysia terhadap pulau berkenaan.

Beliau antara lain memohon defendan memberi penjelasan bagi penarikan balik itu, selain deklarasi bahawa mereka cuai serta melanggar amanah diberikan oleh rakyat Malaysia.

Selain itu Hatta menuntut supaya defendan membayar pampasan minimum RM10 juta kepada setiap rakyat Malaysia bagi kehilangan pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.