
Willie berkata, permohonan itu dibuat beberapa bulan yang lalu tetapi masih belum mendapat sebarang keputusan sama ada permohonan beliau itu diterima atau ditolak.
Katanya, beliau tidak menyertai mana-mana parti tetapi hanya “diparkirkan” dalam parti itu untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.
“Saya telah mengemukakan permohonan saya untuk menyertai parti tempatan dan dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.
“Saya diletakkan di dalam untuk menyokong kerajaan yang mana mereka secara teknikal meletakkan saya di bawah Bersatu supaya saya boleh membawa nombor (bilangan kerusi yang mencukupi) bagi menyokong kerajaan hari ini,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Willie berharap PBB akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permohonannya untuk menyertai parti itu kerana beliau komited untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Puncak Borneo dan rakyat di Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
Beliau berkata, walaupun belum menyertai mana-mana parti secara rasmi, beliau tetap menyokong kerajaan sedia ada, serta amat berterima kasih kepada kerajaan sekarang, yang banyak memberi bantuan.
“Saya telah mengemukakan permohonan saya dan terpulang kepada pucuk pimpinan parti berkenaan untuk melihat sejauh mana keikhlasan saya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya.
“Jika mereka fikir saya orang yang betul untuk terus membawa bendera parti dan mewakili rakyat di Puncak Borneo mereka boleh pertimbangkan dan saya amat menghargai jika mereka boleh menerima saya,” katanya.
Willie memenangi kerusi Puncak Borneo pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada PBB, Genot Sinel.
Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR ketika “Langkah Sheraton” pada awal 2020 dan bersama Bersatu sebelum dilantik sebagai timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun sama.