Tiada perubahan ketara kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan

Tiada perubahan ketara kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 4%, menurut Kementerian Kesihatan.

Kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu meningkat sebanyak 22.1%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menunjukkan tiada perubahan ketara pada minggu epidemiologi (ME) ke-24, yang bermula dari 12 hingga 18 Jun 2022 berbanding ME ke-23.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 4% dari ME pertama sehingga ME ke-23.

“Jumlah kemasukan pesakit Kategori 1 dan 2 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-24 berbanding ME ke-23 meningkat sebanyak 17% manakala untuk Kategori 3, 4, dan 5 menurun sebanyak 8%.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 1% pada ME ke-24 berbanding ME-23, dengan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 2%.

“Bagi katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menurun sebanyak 1% dan jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 33% setakat ME ke-24,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu meningkat sebanyak 22.1% antara ME ke-23 dan ME-24.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 37.6% manakala bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 11.4%,” katanya.

Katanya, kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,538,922 kes dengan kes aktif sebanyak 27,247 kes dicatat setakat 18 Jun, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,476,829 kes dan kes kematian sebanyak 35,732 kes.

“Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,015 dengan kluster aktif sebanyak empat kluster dilaporkan setakat 18 Jun,” katanya.

Hisham berkata, bilangan kes sembuh pada ME ke-24 ialah 10,524 kes berbanding 10,806 kes pada ME ke-23, iaitu menurun sebanyak 2.6% manakala kes baharu pada ME ke-24 pula ialah 14,195 kes berbanding 11,096 kes pada ME ke-23, meningkat sebanyak 27.9%.

Katanya, bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula meningkat sebanyak 28.1%, iaitu daripada 11,076 kepada 14,187 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 60.0%, iaitu 20 kes kepada lapan kes serta bilangan kes kematian menurun sebanyak 16%, iaitu 25 kes kepada 21 kes.

“Bilangan kes aktif pada ME ke-24 berbanding ME ke-23 meningkat sebanyak 9.3%, serta purata nilai RT meningkat sebanyak 12.5% pada tempoh yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.