Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan kekal 30 Jun

Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan kekal 30 Jun

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bagaimanapun berkata tempoh pendaftaran kenderaan bagi pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun dilanjut sehingga 31 Mac 2023.

Sehingga kini sebanyak 264,000 unit kenderaan ditempah dalam tempoh pengecualian itu masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli ekoran gangguan kepada rantai bekalan global membabitkan industri automotif, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tarikh akhir bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi tempahan kenderaan baharu kekal 30 Jun ini, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Beliau bagaimanapun berkata tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan bagi pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

“Ini bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian itu masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli ekoran gangguan kepada rantai bekalan global membabitkan industri automotif.

Bagaimanapun katanya, sejak pengecualian itu diperkenalkan, sebanyak 868,422 unit kenderaan terjual dan rakyat mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020.

Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100% bagi model CKD dan 50% bagi model CBU.

Sejak ia diumumkan, kerajaan juga beberapa kali mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit dimana terbaharu sehingga 30 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.