Dakwa benar pendatang tanpa dokumen bekerja ‘idea bodoh’, Saravanan digesa letak jawatan

Dakwa benar pendatang tanpa dokumen bekerja ‘idea bodoh’, Saravanan digesa letak jawatan

Bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh berkata, mana-mana menteri yang tidak bersetuju dengan Jemaah Menteri dalam isu tersebut patut berundur.

Harris Salleh mengingatkan M Saravanan bahawa pekerja asing di Sabah masuk melalui ‘saluran sah’ 10 hingga 20 tahun lepas.
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh berkata, Menteri Sumber Manusia M Saravanan harus meletak jawatan kerana menyifatkan cadangan untuk membenarkan pendatang tanpa dokumen bekerja sebagai “idea bodoh”.

Pada pelancaran forum mengenai migrasi modal insan di Sabah minggu lepas, Saravanan berkata, tindakan terbaik adalah menghantar pendatang sedemikian pulang ke negara asal.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya menggalakkan “pendatang haram datang ke negara kita”.

Harris berkata, isu membenarkan pendatang tanpa dokumen bekerja telah diputuskan oleh Jemaah Menteri, lapor Daily Express.

“Oleh itu, (jika) mana-mana menteri tidak bersetuju dengan keputusan Jemaah Menteri atau kerajaan persekutuan, beliau harus meletak jawatan. Ini adalah demokrasi berparlimen,” katanya.

Beliau berkata, pendatang tanpa dokumen yang bekerja secara tidak sah pada asalnya memasuki negara ini melalui “saluran yang betul” dan sepatutnya berada di Sabah selama 10 hingga 20 tahun.

“Bagaimanapun, jika tiada sebarang proses undang-undang selanjutnya, dokumen mereka menjadi lapuk,” katanya.

Harris juga berkata, pendatang tanpa dokumen dalam tenaga kerja memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah, terutamanya dalam sektor minyak sawit.

“Tanpa pekerja-pekerja ini, ekonomi Sabah akan lumpuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.