Najib minta Mahkamah Persekutuan batal sabitan perbicaraan SRC

Najib minta Mahkamah Persekutuan batal sabitan perbicaraan SRC

Peguam bekas PM itu berhujah bahawa beliau menjadi mangsa kegagalan keadilan asasi, dan percaya hakim perbicaraan Mohd Nazlan Ghazali sepatutnya menarik diri disebabkan konflik kepentingan.

Najib Razak mendakwa hakim Mohd Nazlan Ghazali, yang terbabit dengan Maybank antara Julai 2006 dan April 2015, paling tidak sepatutnya mempunyai ‘pengetahuan konstruktif’ tentang apa yang dihujahkan oleh pihak pembelaan. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Mahkamah tertinggi negara perlu menangani soal prinsip asas undang-undang apabila mendengar rayuan terakhir Najib Razak terhadap sabitan kes salah guna kuasa dan penggelapan wang, membabitkan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.

Pada 7 Jun, peguam cara bekas perdana menteri itu menandatangani notis usul memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan Mahkamah Tinggi, yang menyaksikan Najib disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, terbatal dan tidak sah serta meminta kes dibicara semula.

Pasukan undang-undang Najib berhujah beliau menjadi mangsa kegagalan keadilan asasi, kerana percaya bahawa hakim perbicaraan, Nazlan Ghazali, sepatutnya menarik diri atas sebab konflik kepentingan.

Dalam afidavit menyokong permohonan itu, Najib mendakwa Nazlan, yang merupakan peguam Maybank dan setiausaha syarikat itu antara Julai 2006 dan April 2015, paling tidak patut mempunyai “pengetahuan konstruktif” tentang apa yang dihujahkan oleh pihak pembelaan sebagai sumber sebenar dana SRC, yang dikatakan amat penting kepada isu-isu yang dibangkitkan dalam kes itu.

Undang-undang menganggap seseorang mempunyai “pengetahuan konstruktif” tentang suatu perkara jika perkara itu boleh diketahui olehnya dengan menggunakan kewajaran munasabah, walaupun orang itu tidak mempunyai pengetahuan sebenar mengenai perkara tersebut.

Menurut Najib, dokumen yang menjadi sendi kepada permohonan itu hanya diketengahkan pada Mei tahun ini, maka oleh itu beliau tidak dapat membangkitkan isu ini di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mahkamah tertinggi akhirnya perlu mempertimbangkan sama ada Nazlan mempunyai pengetahuan tentang perkara-perkara seperti didakwa oleh Najib, dan sama ada pengetahuan itu menjadikannya saksi berpotensi dalam kes itu.

Akibat pengetahuan itu juga, Mahkamah Persekutuan perlu mempertimbangkan sama ada wujud bahaya berat sebelah apabila Nazlan menghakimi perbicaraan itu.

Najib ada menzahirkan keraguan mengenai pelantikan Nazlan ketika kes bermula, namun ia berkaitan kekurangan pengalamannya dalam bahagian jenayah Mahkamah Tinggi.

Meskipun begitu, dalam surat kepada Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, pada 7 Ogos 2018, peguam caranya, Shafee & Co, menyatakan keyakinan mereka terhadap kesaksamaan Nazlan.

Surat itu ditulis bagi menyatakan kebimbangan mengenai persepsi terhadap langkah menggantikan Hakim Sofian Razak dengan Nazlan, dalam perpindahan mengejut di mahkamah jenayah di mana Najib didakwa.

Dalam jawapan bertulis bertarikh 8 Ogos 2018, Zaharah memberi jaminan kepada pasukan pembelaan Najib bahawa perpindahan itu hanyalah rombakan rutin para hakim yang berlaku dari semasa ke semasa.

Permohonan itu mempunyai implikasi besar, bukan sahaja kepada kes itu tetapi kepada persepsi terhadap sistem kehakiman negara. Perkembangan kes ini semestinya akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.